Nadi Mahir Jahit
28 Mac 2026 | Aktiviti TerkiniProgram NADI x Mahir merupakan salah satu inisiatif di bawah perkhidmatan pintar NADI yang berteraskan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Program ini diwujudkan bagi menyediakan satu platform khusus kepada golongan sasaran untuk memperoleh pendidikan serta kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa. Antara kursus yang ditawarkan di bawah program ini ialah Mahir Foto, Mahir Masak, Mahir Pertanian Pintar, Mahir Jahit dan Mahir Baiki Gajet.
Di NADI Parit Othman, kursus Mahir Jahit telah disertai oleh seorang pelajar. Sesi pengajaran dimulakan dengan penerangan asas berkaitan kursus, pengenalan kepada peralatan jahitan serta istilah-istilah asas dalam bidang tersebut. Pendekatan ini membantu pelajar memahami asas sebelum melangkah ke peringkat praktikal.
Sepanjang mengikuti kursus ini, pelajar telah berjaya menyiapkan silibus pertama iaitu menghasilkan baju kurung berpesak. Proses pembelajaran merangkumi keseluruhan langkah bermula daripada penggunaan mesin jahit, penyediaan pola pakaian, proses menggunting kain sehinggalah ke peringkat akhir iaitu menjahit pakaian dengan sempurna.
Walaupun sesi pembelajaran dijalankan secara dalam talian, komunikasi dua hala antara tenaga pengajar dan pelajar telah memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kemudahan rakaman sesi kelas turut disediakan bagi membolehkan pelajar mengulang kaji semula kandungan pembelajaran pada bila-bila masa, seterusnya meningkatkan tahap kefahaman dan penguasaan kemahiran.
Secara keseluruhannya, program NADI x Mahir dilihat mampu memberi impak positif dalam melahirkan individu yang berkemahiran serta berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: